Al-Quds Sasar Jualan Pakej RM20 Juta Tahun Ini



KOTA BAHARU, 2 Mac (Bernama) -- Al-Quds Travel Sdn Bhd, syarikat pelancongan bumiputera mensasarkan jualan pakej pelancongan dalam dan luar negara bagi tahun kewangan 2009 sebanyak RM20 juta.

Pengarah Urusan, Wan Mohd Zamri Wan Salleh berkata berbanding dengan tahun lepas sebanyak RM12.5 juta, sasaran itu berdasarkan kepada peningkatan permintaan orang ramai terhadap pakej-pakej yang ditawarkan.

"Jualan yang dibuat sehingga April ini sahaja sudah melebihi RM4 juta, iaitu meningkat berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, Isnin.

Al-Quds Travel Sdn Bhd ditubuhkan pada 2000 dengan tumpuan awal kepada pakej umrah berikutan pengalaman menuntut di Timur Tengah beberapa tahun.

Wan Mohd Zamri, 35, berkata tahun pertama operasinya, pakej bernilai RM1 juta berjaya dijual dan jumlah itu meningkat dari setahun ke setahun.

"Bermula dari situ beliau kembangkan perniagaan dan kini menguruskan pelancong ke seluruh dunia di mana pesertanya 95 peratus rakyat Kelantan," katanya.

Menurut beliau cawangan pejabat ditubuhkan di Kuching, Sarawak dengan nama Al-Quds (Sarawak) Sdn Berhad dan pejabat jualan di Kuala Lumpur dan Terengganu.

Beliau berkata Al-Quds Travel Sdn Bhd juga akan membuka kaunter di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) bulan depan bagi mengendalikan kemasukan pelancong dari Timur Tengah dan beberapa negara barat.

Anak kelahiran Kampung Uda di sini turut terlibat dalam pengedaran kain batik dan kain tudung dan menjadikan rumahnya di sini sebagai pusat jualan.

Beliau berkata beberapa perniagaan akan dibuka dalam masa terdekat bagaimanapun buat masa ini perkara itu dirahsiakan terlebih dahulu.

"Saya telah beli sebuah syarikat yang terkenal lebih 50 tahun lalu dan namanya yang popular akan dijadikan aset dalam memperkembangkan perniagaan saya nanti," katanya.

SUMBER : Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails