Hyderabad



Kota Teknologi moden tapi kaya warisan
SEKIAN lama, Hyderabad, India, mesra dikenali sebagai Kota Senyuman dan Kota Mutiara.
Sejak kebelakangan ini pula, bandar yang kini menjadi antara pusat teknologi utama di India itu sering dikaitkan sebagai Kota Teknologi. Namun, rencam kemodenan dan warisan kaya Hyderabad menjadikan ibu kota Andhra Pradesh itu benar-benar istimewa.
Hyderabad, kota kelima terbesar di India, menawarkan pelbagai tarikan pelawat - tugu warisan, tasik, taman, muzium, hidangan lazat serta pengalaman beli-belah yang menakjubkan.
Selaras dengan imejnya sebagai Kota Mutiara, Hyderabad mempunyai koleksi mutiara yang pasti dapat memenuhi cita rasa setiap orang - termasuk mereka yang tidak meminati mutiara.
Pilihan mutiara biakan dan bukan biakan yang luas dan harga yang rendah menjanjikan pengalaman berbelanja yang memuaskan.
Namun, bukan penggemar mutiara saja yang pasti puas, Hyderabad juga menjanjikan kepuasan kepada para peminat kraf tangan.
Pilihlah daripada kain kepada permaidani dan cadar katil yang pelbagai corak dan warna dan unik hanya kepada Hyderabad.
Percutian ke Hyderabad tidak sempurna tanpa lawatan ke Charminar dan Golconda Fort.
Lambang kebanggaan Hyderabad, Charminar, ialah sebuah tugu bersejarah empat menara yang menakjubkan. Berusia lebih 400 tahun, struktur asas tugu itu memuncak setinggi 55 meter. Ia dibina Sultan Mohd Quli Qutb Shah sebagai lambang kemakmuran kota tersebut.
Di bahagian barat bumbung Charminar pula terdapat ruang solat untuk 45 jemaah - mencerminkan sejarah kegemilangan kesultanan Islam bandar itu.
Sekitar tugu itu pula dipenuhi deretan bazar yang memang menjadi antara ciri unik Hyderabad. Antaranya, yang mesti dikunjungi, ialah Laad Bazar yang terkenal dengan pilihan luas gelangnya.
Satu lagi tarikan menakjubkan Hyderabad ialah Golconda Fort.
Kubu yang melambangkan keagungan kerajaan Golconda suatu masa dahulu itu mempunyai 87 benteng pertahanan dan lapan pintu masuk gergasi yang dibina dengan tujuan menahan rempuhan musuh. Namun, yang lebih mengagumkan ialah sistem saluran air dan akustik kubu tersebut. Tepukan di kaki kubu tersebut boleh didengar di puncaknya, setinggi 61 meter.
Semasa zaman kegemilangannya, cara itulah yang digunakan pengawal Golconda Fort untuk berkomunikasi antara satu sama lain.
Para pengunjung juga pasti tidak mahu melepaskan peluang menikmati pertunjukan bunyian dan lampu yang diadakan setiap malam.

Reservation & Tour Department
HP : 019-917 4000
Email : marsuki@alqudstravel.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails