Rakyat Kelantan Gemat Belanja & Bayar Tunai

Sikap rakyat Kelantan yang gemar berbelanja dan membuat pembayaran secara tunai adalah antara faktor utama syarikat pelancongan Bumiputera, Al-Quds Travel Sdn.Bhd. terus maju dan mampu berdiri kukuh dengan menyaksikan peningkatan pendapatan setiap tahun.

Pengarah Urusan Al-Quds Travel Sdn.Bhd. Wan Mohd Zamri Wan Salleh berkata sikap rakyat Kelantan itu disifatkan satu keistimewaan yang secara tidak langsung telah membantu mengukuhkan kewangan dan pendapatan syarikat berkenaan.

"Sehingga kini, sejak sepuluh tahun penubuhan syarikat ini bermula tahun 2000, pihak kita belum pernah mengalami masalah kekurangan pendapatan dan mencatatkan peningkatan membabitkan pelbagai jualan pakej pelancongan ditawarkan sesuai dengan kehendak pelanggan."

"Bermula dengan pendapatan sebanyak RM1 juta pada tahun 2000, Al-Quds pada tahun lepas memperolehi pendapatan RM17 juta dan yang uniknya pendapatan itu disumbangkan 100% oleh rakyat Kelantan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran agen Yang Dilantik MAS di sini Rabu.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Urusan MAS Datuk Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

Wan Mohd Zamri berkata sikap rakyat Kelantan yang gemar berbelanja secara tunai meskipun dalam jumlah yang besar juga mendorong syarikat terbabit mencatatkan keuntungan setiap tahun.

"Orang Kelantan memang suka berbelanja secara tunai dan ada yang bayar tunai RM50,000 terus di atas meja... itulah sikap dan keistimewaan rakyat Kelantan menyebabkan kita di Kelantan boleh berjaya kerana mereka mempunyai kuasa berbelanja yang hebat," katanya.

Selain itu, beliau berkata rakyat kelantan juga dilihat kerap melancong ke luar negara terutama menunaikan haji dan umrah.

"Rakyat Kelantan kerap menunaikan umrah dan pada suku pertama tahun ini juga Al-Quds Travel telah menghantar kira-kira 600 orang menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah.

"Dalam tempoh yang sama juga, lebih 400 orang rakyat Kelantan lagi telah ke negara China selain destinasi pilihan lain di seluruh dunia termasuklah negara Eropah dan juga Jepun," katanya.

Wan Mohd Zamri berkata, pemilihan destinasi itu bagaimana pun berdasarkan kepada dua faktor iaitu membabitkan acara peringkat antarabangsa seperti Sukan Olimpik dan juga tanggungjawab pada agama.

"Setiap orang Islam akan mempunyai hasrat untuk pergi umrah dan bilangannya sentiasa bertambah, mereka akan pergi ke sana (menunaikan umrah) meski pun terpaksa berdepan peningkatan harga tiket (penerbangan), tetapi permintaan sentiasa ada," katanya.

Wan Mohd Zamri berkata Al Quds Travel melantik Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai agen bagi membolehkannya menikmati keutamaan dalam tempahan tiket pelanggan danm menerima diskaun lebih murah bagi destinasi yang dilalui syarikat penerbangan itu.

Sementara itu, Datuk Tengku Azmil Zahruddin berkata jalinan kerjasama antara MAS sebagai agen yang dilantik Syarikat Al-Quds Travel Sdn Bhd merupakan satu usaha untuk memajukan bidang pelancongan di Kelantan dan Kota Baharu khususnya.

Menurutnya, pengalaman Al Quds Travel yang telah berfungsi sebagai agen pelancongan selama hampir sepuluh tahun menjadikan pihaknya yakin untuk bekerjasama dan memberikan keistimewaan kepada pelanggan syarikat itu.

Al-Quds Travel Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 2000 dengan tumpuan awal membabitkan pakej umrah dan sehingga kini mempunyai cawangan di Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuantan, Pahang.

Selain itu, selain menyediakan kemudahan pelancongan, Al-Quds Travel turut menyediakan kemudahan penginapan iaitu Al-Quds Hotel & Resort, yang kini sudah beroperasi di Wisma Al-Quds di sini.

Petikan Sumber : Husam musa.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails